Kini ada kursus kemahiran penyediaan makanan tradisi Melayu dan halal di bawah SkillsFuture

BERITAMediacorp: Anda yang ingin memanfaatkan kredit SkillsFuture, kini boleh mengikuti kursus kemahiran penyediaan makanan Melayu halal dan konsep makanan Melayu mewah atau ‘fine dining’.

 

Akademi latihan tersebut akan dikendalikan restoran Mamanda, dan merupakan yang kedua dari kalangan syarikat milik Melayu/Islam, untuk menawarkan latihan sektor makanan dan minuman (F&B) di bawah inisiatif SkillsFfuture.

 

Wartawan BERITAMediacorp meninjau inisiatif Akademi Kulinari Mamanda, dan Institut Kulinari SSA, yang secara keseluruhannya selaras dengan gagasan mengembangkan kemahiran dan potensi pekerja dengan pembelajaran sepanjang hayat.

 

RAMAI YANG TIDAK FAHAM MASAKAN MELAYU

Restoran makanan Melayu ‘fine dining’ Mamanda mungkin tidak asing bagi masyarakat setempat.

 

Didorong matlamat untuk memartabatkan hidangan Melayu sebagai makanan warisan berciri ‘fine dining’, dan bukan sekadar ‘street food’, Mamanda kini menubuhkan akademi khas untuk melatih tenaga kerja dalam penyediaan dan penghidangan makanan tradisi Melayu.

 

“Kita rasakan banyak daripada masakan-masakan Melayu itu sendiri tidak dapat dipelajari dalam institusi-institusi tinggi ataupun institusi-institusi memasak. Apabila kami membuka interview ataupun mencari tenaga pekerja, kami rasakan ramai orang-orang yang datang untuk meminta pekekerjaan itu, mereka tidak faham, mereka tidak tahu tentang masakan-masakan Melayu itu sendiri,” kata Pengarah Urusan Mamanda, Encik Zulkarnine Hafiz.

 

EKONOMI LEMAH MASANYA UNTUK TIMBA ILMU

Selain menghasilkan pekerja yang peka tentang kesenian makanan Melayu, pihak Mamanda juga berharap, latihan berdasarkan rangka kerja tersusun dapat meningkatkan daya hasil kerja bagi pekerja yang sedia ada, mahupun mereka yang ingin beralih ke industri F&B ini, di tengah-tengah iklim ekonomi yang lemah dalam beberapa sektor sekarang.

 

“Apabila kita melangkah ke arah automasi, ia bukan untuk mengganti pekerja, tetapi untuk menyenangkan ataupun menaiktarafkan kerja rutin mereka. Apabila kita mengajar tenaga-tenaga kerja kita, mereka dapat memahami proses menyeluruh. Jadi di situ mereka dapat mengenal pasti kerja-kerja yang tidak mendatangkan penghasilan tinggi,” Encik Zulkarnine memberitahu BERITAMediacorp.

 

Akademi Kulinari Mamanda menambah, di tengah-tengah iklim ekonomi yang lemah sekarang, ini satu lagi platform latihan untuk golongan pekerja yang mahu menukar kerjaya ke bidang F&B.

 

“Memandangkan keadaan ekonomi yang meruncing sekarang, adalah salah satu platform kami untuk memberi peluang ataupun ruang bagi pekerja-pekerja ini sama ada mereka ingin menukar kerjaya mereka. Jadi sebelum mereka menukar kerjaya mereka akan lebih memahami apakah yang akan mereka hadapi,” tambah beliau.

 

BUKAN SEKADAR HOBI

“Memandangkan salah satu kursus yang kami akan menawarkan adalah ‘MEMBUAT KEK DEMI MENYARA HIDUP: LEBIH DARI SEKADAR HOBI’, kami galakkan mereka yang cuba berjinak-jinak dalam dunia bisnes dan membuat kek secara suka-suka untuk mengambil kesempatan ini untuk jadikan hobi mereka sebuah kerjaya.

 

“Kami juga mengharapkan dengan adanya kursus-kursus seperti ini, ia akan membakar semangat masyarakat Melayu dan menjadi batu loncatan buat mereka untuk menghadiri kursus-kursus lain di SSA,” Encik Affandi memberitahu BERITAMediacorp.

 

Yang pasti, kedua-dua pusat latihan ini berkongsi matlamat.

 

Iaitu wadah bagi mendalami kemahiran-kemahiran berguna yang boleh dibayar menggunakan kredit SkillsFuture, yang dihulurkan pemerintah.

 

Sesetengah kursus yang diiktiraf, diberi subsidi sehingga 90 peratus.
– BERITAMediacorp/nk



Other News